
DUNGUN, 23 Februari – Dua lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Dungun, Terengganu, awal pagi semalam direman selama empat hari sehingga Khamis ini.
- Dua suspek berusia 35 dan 28 tahun direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
- Kedua-dua suspek kini dirawat di hospital berbeza akibat kecederaan; satu mengalami patah kaki, satu cedera pada pinggang.
- Polis sedang memburu seorang lagi suspek yang meloloskan diri semasa kenderaan ditahan di sekatan jalan raya Kemaman.
- Kenderaan MPV dikejar kira-kira 100 kilometer; suspek terjun dari jambatan setinggi 10 meter semasa penahanan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 35 dan 28 tahun itu dikeluarkan secara berasingan oleh Mahkamah Majistret Dungun dan Kemaman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Penguasa Polis Supt Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, perintah reman dibuat secara berasingan kerana kedua-dua suspek sedang menerima rawatan di hospital berbeza.
Menurut beliau, suspek berusia 28 tahun kini menerima rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang.
“Seorang lagi suspek berusia 35 tahun pula sedang dirawat di Hospital Dungun akibat kecederaan patah kaki.
“Polis juga sedang giat memburu seorang lagi suspek yang berjaya meloloskan diri selepas kenderaan dinaiki mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Kemaman,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki kesemua suspek ditahan di Kampung Padang Kubu, Kemaman selepas dikejar sejauh kira-kira 100 kilometer.
Kesemua suspek kemudian bertindak terjun dari sebuah jambatan setinggi kira-kira 10 meter, namun dua daripadanya berjaya ditahan selepas mengalami kecederaan parah.