Dua pensyarah IPTS direman kes rasuah projek RM5 juta

Empat individu termasuk dua pensyarah sebuah IPTS di utara tanah air direman empat bantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM5 juta/ BERNAMA

IPOH, 8 April – Dua pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta, (IPTS) antara empat individu yang direman di Mahkamah Majistret Ipoh kerana disyaki meminta dan menerima rasuah membabitkan projek penyelidikan bernilai RM5 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman empat hari dikeluarkan Majistret S. Punitha selepas permohonan SPRM untuk siasatan lanjut.
  • SPRM membekukan 70 akaun bank berjumlah kira-kira RM8.5 juta dan menyita tujuh kenderaan bagi membantu siasatan.
  • Siasatan mendapati kegiatan berlaku antara 2019 hingga 2025, menggunakan pegawai dan pengarah syarikat sebagai proksi menerima wang rasuah.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret S. Punitha selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut.

Tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.05 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga sebelum dibawa keluar kira-kira pukul 11.42 pagi.

Mereka ditahan di pejabat SPRM Perak antara 2.00 hingga 5.00 petang semalam, termasuk seorang pegawai syarikat minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut membekukan 70 akaun bank dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM8.5 juta serta menyita tujuh kenderaan bagi membantu siasatan.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu beberapa syarikat mendapatkan projek penyelidikan, selain melibatkan penyelewengan dana penyelidikan IPTS berkenaan.

Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara tahun 2019 hingga 2025, dengan pegawai serta pengarah syarikat terbabit bertindak sebagai proksi untuk menerima wang bagi pihak kedua-dua pensyarah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.