KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan menerima sogokan dan memperdaya seorang wanita melibatkan wang berjumlah lebih RM4,000 antara tahun 2022 hingga 2023.
- Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sogokan dan penipuan melibatkan lebih RM4,000 antara 2022–2023.
- Che Wan Norehsan didakwa menerima RM800 tanpa balasan melalui akaun bank berkaitan tugas rasminya pada Jun 2023.
- Kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang wanita pada Mei 2022, menyebabkan mangsa menyerahkan RM3,500 bagi kerja ukur tanah palsu.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dan RM7,000 masing-masing; kes disambung sebutan pada 27 November.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Tertuduh pertama, Che Wan Norehsan Che Wan Yusoff, 44 tahun, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tanah, berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 165 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Che Wan Norehsan didakwa menerima wang tanpa balasan berjumlah RM800 daripada seorang individu melalui akaun bank miliknya pada Jun 2023, sedangkan individu itu mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Bagi kesalahan tersebut, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan kedua, Che Wan Norehsan didakwa bersama Mohammad Fadhil Ibrahim, 39 tahun, yang bertugas sebagai Pembantu Awam di pejabat sama, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang wanita pada Mei 2022 dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai wujudnya bayaran upah bagi kerja ukur tanah melibatkan empat lot di Mukim Hulu Paka.
Mangsa kemudian menyerahkan RM3,500 bagi kerja ukur tanah yang sebenarnya tidak dikenakan sebarang bayaran oleh Pejabat Tanah.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang bagi pertuduhan tersebut dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.