
KINTA, 17 Mac – Dua lelaki, termasuk seorang warga emas, ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses mineral kaolin secara haram di sebuah kilang di Simpang Pulai, Perak, semalam.
- Op Bersepadu Khazanah melibatkan PGA, JMG Perak dan IPD Ipoh mendedahkan aktiviti pemprosesan kaolin haram di sebuah kilang.
- Kilang menjalankan penghancuran, pencampuran, penapisan, pemisahan kekotoran, pemekatan, pengeringan dan pengisaran untuk hasilkan kaolin tulen dan pasir gred tinggi.
- Rampasan peralatan melebihi RM20 juta; siasatan dijalankan bawah Peraturan Pembangunan Mineral 2016 dan Akta Pembangunan Mineral 1994.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Balveer Singh Mahindar Singh dalam kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan Cawangan Risik Batalion 1 PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Ipoh, dalam Op Bersepadu Khazanah.
“Semasa serbuan, pihak berkuasa mendapati kilang terbabit menjalankan pemprosesan kaolin termasuk penghancuran, pencampuran, penapisan, pemisahan
kekotoran, pemekatan, pengeringan dan pengisaran.
“Tanah putih diproses untuk menghasilkan kaolin tulen dan pasir, yang dijual sebagai produk gred tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” menuut kenyataan itu.
Rampasan termasuk peralatan bernilai lebih RM20 juta. Kesalahan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral 2016 dan Akta Pembangunan Mineral 1994.
Seorang warga emas, yang bertugas sebagai pemandu jentera berat, ditahan dan dirujuk kepada JMG.
Seorang pekerja warga asing berumur lingkungan 30-an pula disiasat di bawah Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.