Dua lelaki ditahan, satu lagi masih dicari, terlibat kegiatan curi kabel di Dungun

Foto hiasan

DUNGUN, 22 Februari – Dua lelaki ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di Dungun, Terengganu awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek dikesan oleh rondaan polis di Kampung Batu 48 sekitar pukul 4.40 pagi.
  • MPV yang dinaiki cuba melarikan diri melalui LPT2, merempuh palang di dua plaza tol.
  • Kenderaan disekat di atas jambatan Kampung Padang Kubu; tiga suspek terjun dari jambatan.
  • Dua lelaki cedera berumur 35 dan 28 tahun ditahan; seorang lagi masih dikesan, kes disiasat bawah seksyen 379.

Dua suspek terbabit ditahan selepas mengalami kecederaan parah ketika terjun dari sebuah jambatan setinggi lebih 10 meter ketika cuba melarikan diri selepas dikejar polis sejauh kira-kira 100 kilometer.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi memberitahu kegiatan suspek terbabit dikesan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kereta polis yang membuat rondaan di kawasan Kampung Batu 48, terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki semua suspek dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4.40 minit pagi tadi.

Menyedari kehadiran polis, kenderaan MPV tersebut cuba melarikan diri menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di Kuala Dungun dan Paka.

Ketika dikejar polis, kenderaan MPV terbabit turut merempuh palang di dua plaza tol LPT2 dan suspek cuba menggunakan laluan Jalan Jerangau-Jabor untuk melarikan diri ke arah Kuantan.

Kenderaan suspek berjaya di sekat sepasukan anggota polis dari Balai Polis Air Puteh dan Unit Kereta Peronda IPDK Kemaman di atas jambatan Kampung Padang Kubu.

Kesemua suspek bertindak terjun dari jambatan berkenaan menyebabkan dua daripadanya berumur 35 dan 28 tahun mengalami kecederaan dan berjaya ditahan polis.

Superintenden Maizura berkata, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang berjaya meloloskan diri.

Kes disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri.