
SEREMBAN, 12 Februari – Dua individu tempatan berusia lewat 20-an dan 30-an dijatuhi hukuman denda sebanyak RM600 setiap seorang serta perintah khidmat masyarakat selama enam jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
- Dua individu didenda RM600 setiap seorang dan diperintahkan khidmat masyarakat enam jam.
- Kes berkaitan pembuangan sisa pepejal, khususnya puntung rokok di tempat awam.
- Kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, denda maksimum RM2,000.
- SWCorp mengesan 111 kes negeri; penguatkuasaan dan amaran kepada orang awam untuk tidak membuang sampah sembarangan.
Kedua-dua kes berkenaan berkaitan pembuangan sisa pepejal di Negeri Sembilan dan telah dibicarakan di Kompleks Mahkamah Seremban pagi tadi.
Mereka tertangkap ketika penguat kuasa SWCorp menjalankan pemantauan dan operasi sampah kecil pada 4 Januari lalu di Terminal Bas Nilai.
Kedua-dua tertuduh didakwa atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Kamil Nizam.
Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000.
Selain itu, mahkamah turut mempunyai kuasa mengenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCORP Khalid Mohamed berkata, sebanyak 111 kes dikesan di seluruh negeri melibatkan 103 orang tempatan dan selebihnya warga asing. Setakat ini sebanyak 17 kes telah mendapat tarikh perbicaraan.
“Kedua-dua pesalah ini dijatuhkan denda sebanyak RM600. Sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjarakan selama 14 hari, selain menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang sisa pepejal sewenang-wenangnya, khususnya di tempat awam, bagi memastikan kebersihan persekitaran serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara.