Dua ditahan, kebakaran gerai mercun di Wakaf Che Yeh

Gambar hiasan

KOTA BHARU, 25 Mac – Dua individu ditahan polis berhubung kebakaran gerai mercun dan bunga api di Wakaf Che Yeh Kota Bharu, Kelantan malam tadi dipercayai berpunca daripada kecuaian melibatkan sambungan elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran gerai mercun dan bunga api dilaporkan melalui MERS 999 kira-kira pukul 10.13 pagi.
  • Kebakaran berlaku di hadapan premis kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh, Jalan Kuala Krai.
  • Gerai dikendalikan pemilik kedai makan berusia 44 tahun dengan permit sah menjalankan perniagaan di lokasi sama.
  • Pemeriksaan forensik bomba sahkan kebakaran berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik ke lampu hiasan; kes disiasat di bawah Seksyen 285.

Kedua-dua individu terbabit, masing-masing seorang wanita dan lelaki yang merupakan pemilik dan penjaga gerai mercun itu ditahan pada pukul 8.30 malam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.13 pagi semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan kebakaran sebuah gerai menjual mercun dan bunga api di tepi jalan di kawasan berkenaan.

Siasatan di lokasi mendapati kebakaran berlaku di hadapan sebuah premis kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh, Jalan Kuala Krai.

Gerai mercun dan bunga api itu dikendalikan oleh pemilik kedai makan berkenaan, seorang wanita berusia 44 tahun yang memiliki permit sah untuk menjalankan perniagaan terbabit di lokasi sama.

Pemeriksaan pasukan forensik bomba mengesahkan kebakaran berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari premis ke lampu hiasan gerai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkaitan api atau bahan mudah terbakar.

Siasatan lanjut masih dijalankan.