Cubaan seludup 540 karton minuman keras di Labuan gagal

Bot yang sarat muatan minuman keras dirampas Maritim Malaysia malam tadi

LABUAN, 17 Februari- Cubaan menyeludup 540 karton minuman keras berjenama bernilai hampir RM200,000 berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maritim Labuan menggagalkan cubaan seludup 540 karton minuman keras bernilai hampir RM200,000 malam tadi.
  • Bot mencurigakan dikesan 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan semasa Op SEJAHTERA dan Op TIRIS.
  • Sebuah bot ditinggalkan di Pulau Balangkasan; tiada suspek ditemui, muatan dirampas dan dibawa ke jeti.
  • Kes disiasat di bawah undang-undang penyeludupan dan kastam; orang awam digesa melaporkan aktiviti mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros berkata bot yang membawa muatan berkenaan memecut laju melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun tindakan pantas anggota Maritim Malaysia berjaya menyekat bot terbabit.

“Bot PETIR 90 mengesan tiga buah bot mencurigakan sekitar pukul 8.15 malam, 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan, ketika menjalankan Op SEJAHTERA 1/2022 dan Op TIRIS 3.0. Ketika dihampiri, bot-bot terbabit cuba melarikan diri menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar.

“Dua bot berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan, manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan dengan suspek dipercayai melompat dan melarikan diri ke pulau tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui muatan sarat minuman keras.

Tiada suspek ditemui semasa rondaan di sekitar pulau. Bot dan muatan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut.

Izwanhadi berkata kes disiasat di bawah undang-undang penyeludupan dan peraturan kastam.

Orang awam khususnya komuniti maritim digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di 087-427999.