Bot nelayan, tiga PATI ditahan

Foto MARITIM MALAYSIA


KUALA KURAU, 18 Februari
– Sebuah bot nelayan bersama tiga kru warga Myanmar, ditahan dalam operasi khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau di perairan Kuala Terong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot nelayan ditahan kerana beroperasi tanpa nombor pendaftaran sah dan ditahan di perairan Kuala Terong.
  • Tiga kru warga Myanmar ditahan kerana bekerja tanpa kebenaran dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
  • Kegiatan menyalahi Akta Perikanan 1985 dan disyaki melanggar Akta Imigresen 1963; kes disiasat lanjut.
  • Maritim Malaysia mengugut tindakan undang-undang maksimum dan menyeru orang ramai melaporkan aktiviti mencurigakan.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata bot tersebut ditahan pada kedudukan kira-kira 5.8 batu nautika barat daya Muara Kuala Terong, pada pukul 5.15 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot fiber tersebut beroperasi secara haram tanpa nombor pendaftaran yang sah.

“Pemeriksaan turut mendapati pengusaha bot berkenaan menggaji ketiga-tiga warga asing terbabit tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, ketiga-tiga kru lelaki tersebut juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963.

Kesemua individu terbabit ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut.

Bot serta kru tersebut diiring ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia memberi amaran keras bahawa tindakan undang-undang maksimum akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan melanggar undang-undang negara.

“Penglibatan PATI dalam sektor perikanan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang berdegil,”katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut.

Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.