
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Seorang bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka yang juga bekas Timbalan Exco kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama isterinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
- Bekas setiausaha politik dan isteri ditahan SPRM disyaki terima rasuah kira-kira RM3 juta.
- Wang dipercayai balasan membantu sebuah syarikat peroleh konsesi projek penambakan laut Melaka.
- Rasuah didakwa diterima antara Februari hingga November 2021 dan digunakan beli kondominium di Lembah Klang.
- Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman; kes disiasat bawah Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Kedua-dua suspek suami isteri itu ditahan kira-kira pukul 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.
“Pasangan berkenaan juga disyaki menggunakan wang rasuah itu untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” menurut sumber itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman.