Bekas pengarah syarikat telekomunikasi ditahan SPRM, terlibat rasuah RM8 Juta

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta ringgit kepada Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan SPRM ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Putrajaya.
  • Siasatan mendapati perbuatan rasuah dipercayai berlaku pada tahun 2012.
  • Didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan Joint Completion Guarantee untuk kelulusan pinjaman.
  • Tuduhan dijangka di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur dan disiasat di bawah Akta SPRM serta Kanun Keseksaan.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012.

“Suspek juga disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan dokumen ‘Joint Completion Guarantee’ bagi memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman untuk membiayai sebuah projek fiber optik bernilai kira-kira RM400 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata suspek dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, pada 23 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.