
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dan menerima wang berjumlah lebih RM752,000 serta pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM3 juta.
- Didakwa menerima suapan berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000 serta melantik lima syarikat untuk pembekalan barangan hari raya.
- Dituduh pecah amanah melibatkan dana TKAT RM3 juta melalui pelaburan tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM180,000, syarat penyerahan dokumen perjalanan dan tarikh sebutan semula 31 Mac.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, beliau sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah menggunakan kedudukan dan menerima suapan bagi berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Menerusi pertuduhan tersebut, Tan Sri Mohd Nizam dituduh melantik lima syarikat bagi menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, tuala mandi dan beg galas untuk tujuan bungkusan barang hari raya bagi tahun 2025.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, pada 24 Jun 2024.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak daripada kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Tan Sri Mohd Nizam yang ketika itu menjawat jawatan yang sama, telah diamanahkan dengan wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dan tertuduh telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Beliau dituduh menyalahgunakan dana itu bagi tujuan pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan tersebut turut didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 4 Oktober 2024.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan keempat, Tan Sri Mohd Nizam selaku Panglima Angkatan Tentera ATM ketika itu, telah menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM200,000 dengan tanpa balasan daripada seorang individu berjawatan pengarah syarikat berusia 57 tahun, yang diketahui mungkin mempunyai kaitan dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, di sini pada Mac 2025.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan berjumlah RM 300,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu menyerahkan semua dokumen perjalanan termasuk pasport antarabangsa dan pasport diplomatik sekiranya ada, serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Tan Sri Mohd Nizam memohon agar jumlah jaminan yang minima iaitu RM100,000 dan bersedia mematuhi kesemua syarat tambahan.
Permohonan jaminan minima tersebut mengambil kira tertuduh yang perlu menanggung keluarga dan kedua-dua orang tua.
Peguam Abdul Aziz Hamzah juga memaklumkan tertuduh turut memberikan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan.
Ia termasuk membuat penangguhan dan penjadualan semula tiga prosedur pembedahan yang perlu dijalani demi memastikan siasatan dapat dilengkapkan dengan segera.
Sehubungan itu, tertuduh berhasrat menggunakan tempoh sehingga perbicaraan bagi menyelesaikan urusan kesihatan.
Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan jaminan RM 180,000 dengan seorang penjamin warganegara dan semua syarat tambahan tersebut perlu dipenuhi. Mahkamah menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula kes.