Bekas Panglima Tentera Darat didakwa terima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas Panglima Tentera Darat didakwa menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta berkaitan tender TDM.
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah; pertuduhan melibatkan empat transaksi dimasukkan ke tiga akaun antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025.
  • Jaminan RM250,000 dan syarat tambahan ditetapkan; hukuman jika sabit boleh ke 15 tahun penjara dan denda besar.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, 58 tahun, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram membabitkan wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga bank melibatkan tiga lokasi berbeza iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara dan pusat bandar raya di sini, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menyerahkan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun, peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Tan Sri Muhammad Hafizuddeain memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM100,000 dengan mengambil kira status tertuduh sebagai pesara serta keadaan semasa termasuk pembekuan akaun milik tertuduh.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara serta mengekalkan semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan