- Mahkamah Sesyen memerintahkan Zahrah membela diri atas lapan pertuduhan rasuah berkaitan program SSM 11 tahun lalu.
- Pendakwaan berjaya tunjuk prima facie untuk empat pertuduhan suapan RM1.21 juta dan empat bersubahat RM160,000.
- Mahkamah melepas dan membebaskan Zahrah daripada 20 pertuduhan lain kerana kes tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
- Perbicaraan ditetapkan beberapa sesi antara April hingga Julai; kedua-dua tertuduh pilih beri keterangan bersumpah.

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner membela diri atas lapan pertuduhan rasuah membabitkan penganjuran program suruhanjaya itu, 11 tahun lalu.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap empat pertuduhan memperoleh suapan RM1.21 juta serta empat lagi pertuduhan bersubahat menerima RM160,000.
Bagi tiga pertuduhan, Zahrah, 67, didakwa memperoleh suapan berjumlah RM1.01 juta sebagai balasan meluluskan pelantikan dua syarikat bagi pengiklanan papan tanda LED komersial SSM di Johor dan Kedah.
Beliau turut berdepan satu pertuduhan menerima suapan RM200,000 sebagai balasan meluluskan pelantikan sebuah syarikat bagi perkhidmatan pengurusan acara Program Bizfair SSM 2018 peringkat Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Disember 2015 hingga Mac 2019 di sekitar Pastry House, Lake Fields, Sungai Besi mengikut Seksyen 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Zahrah turut diperintah membela diri atas dua pertuduhan bersubahat dengan anaknya, Abdulazeez Wan Ruslan, menerima RM160,000 serta dua lagi pertuduhan berkaitan persetujuan pelaburan pemilikan saham oleh SSM.
Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan beliau daripada 20 lagi pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Menurut hakim, walaupun penemuan wang rasuah bukan elemen wajib, bukti sokongan dan bukti keadaan yang mencukupi diperlukan untuk membuktikan penerimaan wang seperti didakwa.
Sementara itu, Abdulazeez, 40, turut diperintah membela diri atas dua pertuduhan menerima suapan RM85,000 bagi memastikan ibunya meluluskan perolehan kepada dua syarikat pada 2018.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 hingga 3 serta 16 dan 17 April; 20 hingga 22 Mei; dan 27 hingga 29 Julai, dengan kedua-dua tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.