
KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI – Polis akan mengambil keterangan beberapa pihak dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
- Polis akan mengambil keterangan beberapa pihak untuk bantu siasatan kes fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.
- Siasatan dijalankan secara menyeluruh; kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
- Artikel antarabangsa mendakwa Azam Baki memiliki 17.7 juta unit saham, disangka berunsur fitnah.
- 12 pegawai polis yang disiasat ditarik dari tugasan aktif; tindakan tegas dan pendakwaan akan dilaksanakan jika perlu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, cadangan untuk memanggil individu terlibat telah dikemukakan dan siasatan kini dijalankan secara menyeluruh.
“Perkembangan mengenainya akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat. Ketika ini, siasatan masih dijalankan dan cadangan berkenaan telah dipersetujui untuk dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan pihaknya telah menerima laporan mengenai penyiaran artikel oleh sebuah media antarabangsa yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Tan Sri Azam Baki.
Artikel yang diterbitkan pada 10 Februari itu mendakwa Tan Sri Azam Baki memiliki 17.7 juta unit saham dalam sebuah syarikat.
Sementara itu ditanya behubung kes samun mata wang kripto yang melibatkan sekumpulan warga China baru-baru ini, Datuk Seri Mohd Khalid berkata 12 pegawai polis yang disiasat tidak akan diberikan tugasan aktif.
Langkah tersebut bagi memastikan siasatan dijalankan dengan teliti dan sempurna.
“Saya tidak menafikan isu ini dan berhubung kes berkenaan, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang. Tindakan ini tidak akan berhenti di sini. Kami akan memastikan bahawa sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang dan kesalahan, kertas siasatan akan dibuka dan tindakan pendakwaan akan dijalankan mengikut peraturan yang sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memaklumkan, 12 pegawai dan anggota polis telah ditahan selepas pihaknya menerima laporan berkenaan kes tersebut pada 6 Februari lalu.