APMM Selangor patahkan cubaan seludup keluar 32 PATI

Timbalan Pengarah Operasi APMM Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak menunjukkan lokasi penahanan bot pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Selangor/ RTM

SHAH ALAM, 16 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sebuah bot kayu di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • APMM Selangor menahan sebuah bot kayu mencurigakan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor semasa rondaan Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2.
  • Bot membawa 32 PATI warga Indonesia, 23 lelaki dan 9 wanita, berumur 24 hingga 60 tahun tanpa dokumen pengenalan diri sah.
  • Kesemua suspek dan bot dirampas, dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM.

Timbalan Pengarah Operasi APMM negeri, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata bot tersebut dikesan kira-kira pukul 4.15 pagi ketika rondaan keselamatan maritim dijalankan menerusi Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2.

Menurutnya, sebuah vesel kayu berwarna merah dan biru tanpa nombor pendaftaran dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jarak sekitar 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Alhamdulillah untuk setakat ini seperti biasa, operasi kita mesti pelanggaran itu tiada tapi kita agak sukar untuk menahannya selagi tidak memberi kerjasama yang baik, tapi Alhamdulillah pada pukul 4.15 pagi tadi kita berjaya menahan bot tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati bot itu membawa 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun yang dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram.

Tambahnya, kesemua individu terbabit merupakan warganegara Indonesia dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua suspek bersama bot dirampas sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan