
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Lebih 300 aduan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berhubung penyebaran video tular memaparkan insiden penganiayaan terhadap kucing yang didakwa berlaku di negeri ini.
- JPV memandang serius kejadian penganiayaan kucing dan mengambil tindakan segera.
- Siasatan dijalankan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 untuk memastikan proses adil.
- Jabatan komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh untuk mengesan serta mendakwa pihak bertanggungjawab.
- Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih dan diminta tampil memberi maklumat.
JPV Terengganu dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan perbuatan zalim terhadap haiwan serta pelanggaran undang-undang sedia ada.
“Tindakan segera telah diambil dengan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
“Jabatan bertekad memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi mengesan serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.
JPV turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.