AKPS tahan 10 kontena bawa e-sisa dari Amerika Syarikat

FOTO AKPS

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan 10 kontena dari Amerika Syarikat yang mengandungi bahan buangan terjadual (e-waste) dan bahan buangan plastik lebih 216 tan dalam pemeriksaan di di tapak pemeriksaan CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS mengesahkan 10 kontena mengandungi e-waste dan plastik berjumlah lebih 216 tan dirampas di Pelabuhan Klang Barat.
  • Pemeriksaan melibatkan 15 kontena dan agensi termasuk SPRM, SIRIM, PDRM, Lembaga Pelabuhan Klang dan JAS Selangor.
  • Kemasukan bahan buangan terjadual dilarang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
  • Kontena disimpan di kawasan selamat menunggu notis JAS untuk tindakan penghantaran semula dan penguatkuasaan lanjut.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan itu dijalankan ke atas 15 kontena melibatkan anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam kontena berisi e-waste dan empat kontena mengandungi bahan buangan plastik,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Nik Ezanee menegaskan kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kontena berkenaan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal (re-export).

AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang selain akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.