
PELABUHAN KLANG, 4 Februari – Lebih 44 tan dagangan hasilan haiwan dan pertanian yang tidak mematuhi syarat import dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam satu operasi pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat, hari ini.
- Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan fizikal beberapa kontena di Tapak Pemeriksaan Kontena CFS4.
- Barangan dirampas termasuk daging itik, daging babi dan biji kopi kerana tiada permit atau sijil import sah.
- Nilai rampasan dianggarkan RM916,156.02 dan kes disiasat di bawah Akta 728.
Menurt Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan fizikal ke atas beberapa kontena di Tapak Pemeriksaan Kontena CFS4.
Menurutnya, antara barangan dirampas ialah daging itik sejuk beku dari Ireland seberat 16,161.28 kilogram bernilai RM354,176.26 yang diimport tanpa permit sah MAQIS.
Turut dirampas, daging babi sejuk beku dari Belgium seberat 24,958.10 kilogram bernilai RM461,371.43 kerana tidak mematuhi syarat permit import.
Selain itu, biji kopi dari Colombia seberat 3,500 kilogram bernilai RM100,608.33 turut disita kerana diimport tanpa Perakuan FAMA 3P.
Kesemua rampasan itu melibatkan nilai keseluruhan dianggarkan RM916,156.02 dan disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
AKPS menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam membanteras kemasukan barangan tidak patuh peraturan bagi melindungi keselamatan makanan, kesihatan awam serta kedaulatan negara.