
PORT KLANG, 14 Februari – Cubaan membawa masuk produk makanan dan pertanian tanpa mematuhi permit MAQIS digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang dalam tiga operasi berasingan di Pelabuhan Barat, Klang.
- AKPS Pelabuhan Klang menggagalkan tiga cubaan seludup produk makanan dan pertanian tanpa permit MAQIS.
- Jumlah rampasan dianggarkan RM1.03 juta dengan hampir 80 tan metrik barang.
- Tiga kontena disita: daging khinzir beku, pasir kucing, dan isi ikan patin.
- Kes disiasat di bawah Akta 728; kawalan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan.
Nilai keseluruhan rampasan bagi ketiga-tiga kontena itu dianggarkan berjumlah RM1.03 juta dengan berat keseluruhan hampir 80 tan metrik.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Deputi Komisioner Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata tiga kontena berkenaan disita kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“AKPS Pelabuhan Klang berjaya mengesan dan menyita tiga kontena yang mengandungi hasilan ikan, hasilan pertanian dan hasilan haiwan yang cuba dibawa masuk tanpa mematuhi Akta 728 dalam tiga operasi berasingan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata operasi pertama melibatkan rampasan satu kontena berisi hasilan haiwan iaitu daging khinzir sejuk beku (Frozen Pork) yang diimport dari Belgium dengan anggaran berat 27,000 kilogram dan nilai lebih RM487,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta 728 atas kesalahan tidak mematuhi syarat permit MAQIS,” katanya.
Operasi kedua pula membabitkan satu kontena mengandungi hasilan pertanian jenis pasir kucing (cat litter) yang diimport dari China, seberat 28,001.60 kilogram dan dianggarkan bernilai lebih RM46,000.00
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta sama atas kesalahan tiada permit import sah MAQIS.
Sementara itu, operasi ketiga melibatkan satu kontena mengandungi hasilan ikan jenis isi ikan patin (pangasius fillet) yang diimport dari Vietnam dengan anggaran berat 24,920 kilogram dan nilai hampir RM491,000.00.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta 728 atas kesalahan mengemukakan dokumen mengelirukan,” katanya.
Nik Ezanee berkata pihaknya akan terus memperketat kawalan dan penguatkuasaan bagi memastikan hanya barangan yang mematuhi peraturan dibenarkan masuk demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara.