
PORT KLANG, 9 Mac – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengesan 22 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) seberat 510,461 kilogram dalam pemeriksaan menerusi Op Green Shield 17 di Pelabuhan Klang, hari ini.
- Pemeriksaan bersepadu diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang bersama JAS, Kastam, SIRIM dan LPK untuk memastikan pematuhan peraturan.
- 54 kontena diperiksa; beberapa mengandungi sisa elektronik, 19 kontena campuran waste dan scrap tidak mematuhi syarat import, 11 mengandungi bahan buangan terjadual.
- Kontena e-waste ditempatkan di kawasan selamat menunggu notis JAS untuk pengeksportan semula; Op Green Shield 1-17 rekod 3,328.36 tan dan 163 kontena.
Pemeriksaan diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal itu disertai pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Nik Ezanee berkata, operasi membabitkan seramai 20 anggota daripada agensi terlibat bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi memastikan kandungannya mematuhi peraturan serta tidak melibatkan bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan mendapati 54 kontena diperiksa, dengan 22 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dengan jumlah berat sebanyak 510,461 kilogram. Sebanyak 17 kontena berisi campuran waste dan scrap yang tidak mematuhi syarat import dan diserahkan kepada SIRIM untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Selain itu, 12 kontena didapati mengandungi bahan buangan terjadual mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, Op Green Shield 1 hingga Op Green Shield 17 merekodkan 3,394.91 tan (bersamaan 3,394,919 kilogram) dikesan dengan 164 kontena dikenal pasti positif mengandungi sisa elektronik.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengimportan sisa elektronik secara tidak sah ke dalam negara.
Tambah beliau, kontena e-waste yang dikesan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan pengeksportan semula (re-export).
“AKPS terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.