AKPS gagalkan cubaan seludup hampir 100 tan metrik beras di Bukit Kayu Hitam

FOTO AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 11 Februari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir 100 tan metrik beras bernilai RM639,400 dalam satu operasi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan risikan di ICQS Bukit Kayu Hitam mendedahkan dua lori kontena membawa beras tanpa pengisytiharan.
  • Setiap treler mengandungi 49,950 kilogram beras, jumlah rampasan 99,900 kilogram.
  • Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994; barangan dan kenderaan disita untuk siasatan.
  • AKPS akan mempertingkatkan kawalan sempadan bagi membanteras penyeludupan yang mengancam keselamatan makanan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, dua lori kontena diperiksa di Blok E3, Laluan Masuk ICQS Bukit Kayu Hitam hasil maklumat risikan yang diterima pihak berkuasa.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lori berkenaan membawa beras tanpa sebarang pengisytiharan yang disembunyikan di dalam treler kontena bagi mengelirukan pemeriksaan di pintu masuk negara.

“Setiap treler mengandungi 49,950 kilogram beras, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 99,900 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) melibatkan Seksyen 20 berkaitan kuasa rampasan dan Seksyen 21 berkaitan pelucuthakan.

Kesemua beras dirampas manakala dua lori kontena bersama treler turut disita bagi tujuan siasatan dan pendakwaan lanjut.

Nilai rampasan beras dianggarkan RM639,400, manakala nilai sitaan dua lori kontena berjumlah RM420,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan sebanyak RM1,059,400.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah untuk tindakan lanjut, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti agen atau syarikat yang terlibat.

AKPS menegaskan penguatkuasaan kawalan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan keperluan asas yang boleh menjejaskan keselamatan makanan negara serta kepentingan pengguna tempatan.