
JOHOR BAHRU, 12 April – Aktiviti perniagaan makanan sejuk beku secara tidak sah di tiga premis berjaya ditumpaskan menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bersama beberapa agensi penguat kuasa di sekitar Johor Bahru, semalam.
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MBJB dan JAINJ turut terlibat dalam operasi bersepadu.
- Komander Mohd Zaki Ashar mengesahkan operasi akan diteruskan membanteras rangkaian sindiket penyeludupan dan penjualan haram.
- Sembilan lelaki ditahan; pelbagai makanan sejuk beku dirampas termasuk karkas babi, daging itik, lembu dan ayam.
- Jumlah rampasan dianggarkan RM168,758.46, berat melebihi 6,702 kilogram; MBJB mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik premis.
Operasi itu turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Komander WCB, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi seumpama itu akan terus dipergiat bagi membanteras rangkaian sindiket yang terlibat.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras rangkaian sindiket yang terlibat dalam penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam operasi berkenaan, seramai sembilan lelaki ditahan, manakala pelbagai barangan makanan sejuk beku dirampas termasuk karkas babi, daging itik, daging lembu dan daging ayam.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM168,758.46 dengan berat melebihi 6,702 kilogram.
MBJB turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap pemilik premis terbabit atas pelanggaran peraturan yang ditetapkan.
Siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Binatang 1953 kerana memiliki atau mengimport karkas babi dari negara yang tidak dibenarkan.