4 anggota polis dilepaskan dengan jaminan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 12 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan melepaskan empat anggota polis yang bertugas di ibu pejabat daerah (IPD) salah sebuah daerah di negeri itu dengan jaminan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 bagi menghalang tindakan terhadap individu yang membawa daun ketum.
  • Keempat-empat suspek ditahan reman selama lima hari dan dilepaskan selepas tempoh reman tamat.
  • SPRM sedang melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan kesemua suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam kereta yang dipandu.

“Selasa lalu, keempat-empat suspek ditahan reman selama lima hari dan semalam mereka telah dilepaskan sebaik tempoh reman terhadap kesemua suspek tamat.

“Kini SPRM sedang melengkapkan siasatan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Kesemua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dan perlu melaporkan diri setiap bulan di SPRM Kelantan.