
KUCHING, 5 Mac -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching menahan 37 warga asing dalam operasi di sekitar Demak dan Lundu pada 3 dan 4 Mac lepas.
- 37 warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Demak, Lundu dan kawasan sekitar.
- Operasi melibatkan 33 pegawai dan menyasarkan kilang serta premis yang disyaki menggaji tanpa permit.
- Serbuan juga dijalankan di penempatan pekerja di kebun durian dan kebun kelapa sawit di Rambungan.
- Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.
JIM Sarawak memaklumkan, operasi melibatkan 33 pegawai imigresen dibuat di beberapa lokasi tumpuan termasuk kilang-kilang yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa pas atau permit kerja yang sah.
Operasi turut dijalankan di premis menjual makanan dan minuman di kawasan Demak yang dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Operasi diteruskan dengan serbuan di rumah penempatan pekerja di kawasan kebun durian dan kebun kelapa sawit di Rambungan, Lundu.
“Lokasi penempatan pekerja yang berada di kawasan pedalaman serta laluan masuk yang berbukit tinggi dan berbatu menjadikan operasi berkenaan lebih mencabar.” menurut
JIM Sarawak menerusi kenyataan di Facebook.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.