
SITIAWAN, 5 Februari – Sebanyak 33 tan minyak sawit disyaki Crude Palm Kernel Oil (CPKO), dirampas dan dua individu masing-masing berusia 51 dan 35 tahun ditahan dalam Op Taring Landai (Inter-Agensi) di sekitar Ulu Kayan, di sini Selasa lalu.
- Operasi Op Taring Landai dijalankan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Satu campuran pasukan risik dan operasi.
- Penangkapan melibatkan dua individu ketika pemindahan minyak sawit secara tidak sah dari lori ke van.
- Rampasan termasuk kenderaan, tong dan pam; kes diserahkan kepada MPOB untuk siasatan lanjut bawah Akta 582.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin dalam kenyataan memaklumkan, operasi kira-kira pukul 11.00 pagi itu dijalankan pasukan risik dan operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Kampung Acheh.
“Sebuah lori tangki dan sebuah van pelbagai guna dikesan dalam keadaan mencurigakan di sebuah kebun kelapa sawit.
“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua suspek sedang melakukan pemindahan minyak sawit secara tidak sah, dari lori tangki ke dalam tong minyak di dalam van,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi itu, turut dirampas ialah sebuah lori tangki, sebuah van, sebuah tong IBC, empat tong
drum, serta sebuah pam minyak bersama hos.
Keseluruhan nilai rampasan, termasuk kenderaan dan minyak sawit, dianggarkan berjumlah lebih RM568,000.
Kes dan suspek diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Bagan Datuk untuk siasatan lanjut bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia
1998, Akta 582.