
TAWAU, 11 April – Sebanyak 30,800 liter diesel bernilai RM1.16 juta dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Sin San di sini pada Jumaat.
- Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
- Serbuan hasil risikan PPM dan maklumat orang awam, lori 21 tan dikesan ke lokasi.
- Pemeriksaan menemui tiga lori, tiga skid tank dan 10 tong drum, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman mendedahkan, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Serbuan dijalankan hasil risikan PPM dan maklumat orang awam, sebelum pihaknya mengekori sebuah lori 21 tan yang mencurigakan ke lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan diesel secara tidak sah menerusi penemuan tiga lori, tiga unit skid tank dan 10 tong drum yang digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Operasi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan kawalan akan dipergiat bagi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara,” tegasnya.