
JOHOR BAHRU, 21 Januari – Tiga pegawai imigresen dan seorang peniaga restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan rasuah berkaitan aktiviti pengaturan kaunter sejak tiga tahun lalu.
- Tiga pegawai imigresen dan seorang peniaga restoran didakwa atas pertuduhan rasuah berkaitan pengaturan urusan warga asing.
- Tertuduh menghadapi pertuduhan menerima suapan berjumlah berbeza antara RM100 hingga RM28,600 bagi memudahkan urusan imigresen.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 hingga RM10,000 setiap seorang; kes disenarai semula pada 24 dan 25 Februari.
Md Azhar Jamal, 40 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Beliau didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah keseluruhan RM28,600 bagi tujuan mengesahkan dokumen perjalanan warga asing di sebuah bank di Kluang, antara 22 Julai 2024 hingga 13 Februari tahun lalu.
Dua lagi tertuduh, Ridzal Mohd Yasin, 43 tahun, dan Hairizam Mohamed, 58 tahun, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100 dan RM1,700, masing-masing tiga dan dua tahun lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi memudahcara urusan kemasukan pengembara warga asing di Pejabat Imigresen dan Terminal Feri Pasir Gudang, sekitar April 2023 dan Ogos 2024.
Di mahkamah sama, peniaga restoran, Haslan Hazilah, 57 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM1,200 sebagai orang tengah memudahcara urusan keluar masuk seorang pengembara Indonesia di Muar pada 11 November 2024.
Mahkamah membenarkan jaminan antara RM8,000 hingga RM10,000 kepada setiap tertuduh, dengan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 dan 25 Februari depan.