
BUKIT KAYU HITAM, 12 April -14 warga India, antara 28 warga asing yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, selepas gagal memenuhi syarat sebagai pelancong.
- Pegawai Imigresen menolak kemasukan selepas pemeriksaan dan tapisan dijalankan.
- Alasan penolakan: tiada tiket pulang, tidak dapat jelaskan tujuan perjalanan, tersenarai dalam senarai syak jabatan.
- Lima warga Thailand ditolak kerana pasport rosak; dua warga Bangladesh dilarang guna pintu masuk darat.
- Semua ditolak diarahkan kembali ke negara terakhir berlepas; AKPS akan perketat kawalan dan ambil tindakan tegas.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata, kesemua warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita.
Tindakan menolak kemasukan mereka dilakukan hasil pemeriksaan dan tapisan yang dijalankan oleh pegawai Imigresen sejak 1 April lalu hingga semalam.
“Antaranya tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta tidak dapat memberikan tujuan perjalanan yang sahih ketika disoal oleh pegawai imigresen.
“Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tersenarai dalam senarai syak jabatan yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, lima wargaThailand turut ditolak kemasukan kerana pasport rosak dan tidak memenuhi syarat kemasukan setelah melalui proses tapisan imigresen.
Dalam kes berasingan, dua lelaki warga Bangladesh telah ditolak kemasukan kerana tidak dibenarkan menggunakan pintu masuk darat selaras dengan arahan semasa jabatan.
Selebihnya melibatkan warganegara dari Myanmar, Sri Lanka, Taiwan dan Indonesia yang turut ditolak kemasukan atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Kesemua individu terbabit, telah diarahkan kembali semula ke negara terakhir mereka berlepas sebelum memasuki Malaysia oleh pegawai imigresen bertugas,” katanya lagi.
Tegas SAC Fauzi, AKPS akan terus memperketatkan kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat yang memenuhi syarat sahaja dibenarkan memasuki Malaysia.
Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara.