28 ditahan, JIM Kelantan tumpas sindiket seludup PATI di Kota Bharu

Ops Serkap JIM Kelantan berjaya menahan 28 individu termasuk dalang sindiket penyeludupan PATI di Wakaf Che Yeh/Foto JIM Kelantan

KOTA BHARU, 22 Februari – Seramai 28 individu pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Serkap di beberapa lokasi di daerah ini pada Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 28 individu, termasuk 27 PATI dan seorang dalang, ditahan dalam Ops Serkap di Kota Bharu.
  • Serbuan hasil risikan selepas mengesan kenderaan mewah digunakan untuk membawa PATI keluar negeri.
  • Kebanyakan ditahan warga Myanmar; beberapa ditahan di hotel ketika menunggu ejen untuk diseludup pulang.
  • Empat kenderaan disita, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang.

Turut ditahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 31 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

Serbuan kira-kira pada pukul 7.05 pagi itu dilaksanakan hasil risikan dan intipan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan selepas mengesan beberapa kenderaan mewah dipercayai digunakan untuk membawa PATI keluar dari negeri ini.

Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, pihaknya mengesan sekumpulan PATI memasuki beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan letak kereta sebuah hotel sebelum bertindak menghalang semua laluan masuk dan keluar bagi mengelakkan suspek melarikan diri.

“Dalam keadaan masih gelap, beberapa PATI bersama pemandu kenderaan cuba meloloskan diri namun berjaya ditahan. Seorang pemandu turut bertindak agresif dalam usaha melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, seramai 20 warga Myanmar terdiri daripada 12 perempuan dan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan di lokasi berkenaan.

“Hasil soal siasat awal mendapati kesemua mereka mengaku baru memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut,” katanya.

Pemeriksaan lanjut di hotel sama membawa kepada penahanan lima lagi lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 36 tahun yang dipercayai sedang menunggu ejen untuk dibawa menyeberangi sempadan pulang ke negara asal.

Selain itu, dua lelaki warga China berusia 32 tahun turut ditahan ketika bersembunyi di balik timbunan kotak di bumbung hotel.

Sebanyak empat kenderaan turut disita untuk siasatan lanjut.

Kesemua 27 PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki warga Myanmar ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 untuk siasatan lanjut.