2 pegawai Imigresen ditahan terlibat sindiket ‘pasport segera’

Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Tiga individu termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan kemudahan permohonan Pasport Malaysia secara dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pegawai Imigresen dan seorang warga tempatan ditahan kerana terlibat sindiket pasport segera.
  • Sindiket tawarkan pembaharuan pasport melalui media sosial dengan bayaran RM12,000 tanpa prosedur sah.
  • Operasi hasil risikan hampir dua bulan melibatkan JIM Bahagian Perisikan, Johor dan Sabah.
  • Kes disiasat bawah Akta Pasport 1966; beberapa individu dipanggil bantu siasatan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama JIM Johor dan Sabah itu dilaksanakan pada Isnin serta semalam di sekitar Simpang Renggam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Seorang lelaki warga tempatan ditahan terlebih dahulu di sebuah premis kediaman di Simpang Renggam kerana disyaki memberikan perakuan palsu bagi mendapatkan Pasport Malaysia.

“Susulan penahanan itu, operasi diteruskan ke Kota Kinabalu dan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang merupakan pegawai Imigresen, dipercayai bertindak sebagai dalang utama dan ‘pemudah cara’ sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Zakaria berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 32 hingga 40 tahun dan tindakan itu adalah hasil risikan serta pemantauan rapi hampir dua bulan mengikut pendekatan ‘smart enforcement’.

Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah menawarkan perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia melalui media sosial dengan harga RM12,000 tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan dan hanya perlu menyerahkan maklumat peribadi serta gambar.

Pemohon juga tidak perlu hadir ke pejabat Imigresen untuk pengambilan pasport, sebaliknya pasport yang telah siap akan dipos ke luar negara melalui perkhidmatan kurier kepada ejen di sana.

Kes disiasat mengikut Akta Pasport 1966 dan semua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Johor dan Sabah bagi siasatan lanjut.

Selain itu, katanya, seorang wanita tempatan dan seorang lagi pegawai Imigresen telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan