14 warga Filipina, Myanmar diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA, 27 Mac – 14 warga Filipina dan Myanmar diselamatkan dalam dua operasi berasingan di Klebang dan Tengkera selepas dipercayai diperdaya sindiket pemerdagangan manusia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh suspek ditahan; warganegara Taiwan, China, Filipina, Myanmar dan Indonesia, berumur 19 hingga 38 tahun.
  • Mangsa dijanjikan kerja khidmat pelanggan tetapi dipaksa menjalankan aktiviti penipuan sebaik tiba di Malaysia.
  • Mangsa dibebankan hutang, pasport dirampas, dikawal ketat dan dipaksa bekerja lebih masa tanpa kerelaan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen; perintah perlindungan interim dipohon 21 hari.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan memaklumkan, tujuh suspek yang ditahan terdiri daripada warga Taiwan, China, Filipina, Myanmar dan Indonesia berusia antara 19 hingga 38 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia antara 25 hingga 36 tahun itu dijanjikan kerja sebagai petugas khidmat pelanggan, namun dipaksa menjalankan aktiviti penipuan (scammer) sebaik tiba di Malaysia.

“Mangsa turut dikenakan hutang, pasport dirampas dan dikawal ketat, serta dipaksa bekerja lebih masa tanpa kerelaan,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Permohonan perintah perlindungan Interim (IPO) ke atas 14 mangsa dibuat selama 21 hari bermula hari ini. Operasi berkenaan dilakukan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman.