
Muar, 7 Februari – Seramai 12 individu ditahan dalam beberapa serbuan di beberapa negeri, Rabu hingga Khamis lalu, dipercayai terlibat dalam pelbagai kes penipuan termasuk pinjaman tidak wujud, penipuan panggilan telefon, pembelian e-dagang serta penyalahgunaan akaun bank, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM190,000.
- Polis Muar maklumkan banyak kes melibatkan penyerahan atau penyewaan kad ATM dan nombor PIN kepada pihak tidak dikenali.
- Sindiket gunakan akaun mangsa untuk pemindahan dan pengeluaran wang hasil penipuan.
- Serbuan tumpaskan sindiket panggilan pinjaman wang tidak wujud di Sungai Abong, Muar; lapan suspek ditahan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, menerusi satu kenyataan memaklumkan, kebanyakan kes melibatkan penyerahan atau penyewaan kad ATM serta nombor PIN kepada individu tidak dikenali.
“Tindakan itu membolehkan sindiket menggunakan akaun berkenaan bagi tujuan pemindahan dan pengeluaran wang hasil penipuan,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Polis Daerah Muar turut menumpaskan sindiket penipuan Pusat Panggilan Pinjaman Wang Tidak Wujud di Sungai Abong, Muar, pada Khamis lalu, dengan penahanan lapan suspek.
ACP Raiz Mukhliz berkata, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak Jun 2025 dengan menyamar sebagai wakil institusi kewangan dan syarikat pinjaman bagi memperdaya mangsa.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.