12 dicekup, sindiket tonto terbesar Semenanjung tumpas

Bahagian Perisikan SPRM menyerbu rumah kediaman suspek/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 24 Februari – 12 lelaki ditahan termasuk tiga pegawai penguat kuasa dipercayai terlibat kes tonto.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM jalankan Operasi Middleman, tumpaskan sindiket tonto terbesar di Semenanjung selepas risikan enam bulan.
  • Kira-kira 300 syarikat dipercayai memberi suapan; jutaan ringgit disalur melalui orang tengah.
  • Sembilan ejen tawar rasuah RM100 hingga RM4,500 sebulan kepada pegawai JPJ, lawan tindakan penguatkuasaan lori.
  • JPJ akan pertingkat pemantauan dalaman dan ambil tindakan tegas terhadap pegawai yang bersekongkol.

Penangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Operasi Middleman, awal pagi tadi.

Operasi itu sekali gus menumpaskan sindiket tonto terbesar di Semenanjung Malaysia.

Serbuan yang bermula seawal pukul 5 pagi itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan hasil risikan selama enam bulan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, sekurang-kurangnya 300 syarikat dipercayai telah memberi suapan kepada sindiket berkenaan.

“Dalam kes Operasi Middleman ini kita berjaya melumpuhkan sindiket tonto yang paling besar.

“Kita dapati bahawa jutaan ringgit disalurkan oleh pihak syarikat kepada orang tengah ini untuk disampaikan kepada pegawai ataupun anggota penguat kuasa,” katanya.

Menurut beliau, sembilan suspek dipercayai bertindak sebagai ejen dan orang tengah yang menawarkan rasuah antara RM100 hingga RM4,500 sebulan kepada pegawai penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebagai balasan, tindakan penguatkuasaan terhadap lori syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 diabaikan.

Sindiket itu dipercayai melindungi pelbagai kesalahan kenderaan perdagangan di seluruh Semenanjung, sekali gus menjejaskan integriti dan keberkesanan operasi penguatkuasaan.

Operasi bersepadu berkenaan digerakkan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kes disiasat bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli menegaskan komitmen penuh jabatan itu untuk terus bekerjasama dengan SPRM.

Ini termasuk memperkukuh pemantauan dalaman serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang bersekongkol.

Operasi berkenaan dilihat sebagai mesej jelas bahawa amalan rasuah dan perlindungan haram tidak akan dikompromi pihak berkuasa.