PUTRAJAYA, 8 November - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan aduan berhubung iklan palsu yang menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian yang tular menerusi laman sosial Tik Tok.
Ia menggunakan gambar pengurusan tertinggi kementerian dan jabatan, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
JPJ dalam satu kenyataan menegaskan iklan serta akaun yang mempromosikan tawaran tersebut adalah palsu, bertujuan memperdaya orang ramai untuk mempercayai promosi berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan promosi, iklan atau akaun yang tidak sah bagi mengelakkan kekeliruan dan kerugian,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga digalakkan membuat semakan dengan merujuk kepada jabatan berkenaan terlebih dahulu untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, sekiranya menerima tawaran mencurigakan.
Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my.