fb fb fb fb fb

Warga emas rugi lebih RM400,000 ditipu pelaburan tidak wujud

PDRM

BATU PAHAT, 7 Julai- Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM400,900 setelah terperdaya dengan sindiket pelaburan mata wang digital yang tidak wujud pada Mac lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, 64, berurusan dengan inidvidu tidak dikenali melalui laman Facebook sebelum meneruskan komunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

Mangsa yang tertarik dengan keuntungan besar yang ditawarkan menerusi pelaburan mata wang digital itu telah diberikan pautan laman web kakauet.com.

"Mangsa kemudiannya memasukkan maklumat diri ke dalam platform tersebut.

"Dalam tempoh 3 April hingga 18 Jun mangsa telah membuat pindahan wang ke lapan akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM400,900," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, mangsa kemudian menerima mesej daripada suspek menyatakan akaun pelaburannya telah disita oleh Kementerian Kewangan Amerika Syarikat dan perlu membuat bayaran sebanyak tiga peratus daripada jumlah pelaburan untuk menebusnya.

"Mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Orang ramai juga boleh melayari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA