IPOH, 12 Januari- Seorang warga emas mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud, pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat berkata mangsa warga tempatan berusia 67 tahun itu mendakwa, dia tertarik dengan iklan pelaburan saham ketika melayari laman Facebook.
Jelasnya, mangsa kemudiannya menekan pautan yang diberikan oleh suspek dan seterusnya dimasukan ke dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang bernama National Malaysian Finance Management Association.
Katanya, mangsa turut diminta memuat turun aplikasi PGLO.PRO.
Ujarnya, mangsa yang terperdaya dengan pelaburan itu telah membuat 16 pindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM974,000.
Mangsa menyedari ditipu selepas semakan dilakukan di laman Google mendapati pelaburan tersebut tidak wujud dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada semalam.