fb fb fb fb fb

Warga asing rogol, samun wanita warga emas

Tangkap layar hantaran tular di media sosial

SEPANG, 13 September - Seorang wanita warga emas mengalami detik hitam apabila dia menjadi mangsa rogol dan samun oleh seorang lelaki warga asing yang tidak dikenali di sebuah apartmen di Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa berusia 71 tahun itu membuat aduan pada 12.18 tengah malam semalam.

Susulan itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun yang bekerja di sebuah restoran telah ditangkap pihak polis beberapa jam selepas laporan dibuat.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dibawa ke bawah tangga dan dirogol ketika sedang menunggu lif di apartment berkenaan.

"Turut dirampas dompet serta telefon bimbit milik mangsa. Suspek kini dalam tahanan dan akan direman esok di Mahkamah Majistret Sepang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 376 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang melibatkan jenayah rogol dan samun.

Sekiranya didapati bersalah, hukuman bagi rogol adalah penjara minimum lima tahun hingga maksimum 20 tahun, termasuk sebatan.

Bagi kesalahan samun, hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda atau sebatan boleh dikenakan.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita warga emas dirogol di kawasan sebuah apartment.

GRACE AISYAH KEDAYAN