KUANTAN, 14 Oktober - Seorang wanita berusia 35 tahun mengalami kerugian sebanyak RM244,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dalam talian.
Mangsa membuat 11 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza setelah tertarik dengan tawaran pelaburan Skim Efinity Capital melalui Facebook yang menjanjikan pulangan antara 5 hingga 300 peratus daripada modal.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan, mangsa telah memuat turun aplikasi ECMT Pro untuk melabur sebelum mula memindahkan wang dari 21 Ogos hingga 3 Oktober 2024.
"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan," katanya menerusi kenyataan.
Polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan luar biasa.