JOHOR BAHRU, 4 Disember- Cubaan seorang wanita warga Indonesia menyamar sebagai warga tempatan selain melakukan provokasi bagi mengelak ditangkap, gagal selepas dia bersama 23 warga asing lain, ditahan dalam operasi pada 1 Disember lalu di Johor Bahru.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam kenyataan berkata, wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan dilaporkan mengaku sebagai rakyat tempatan, namun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah.
Dalam operasi di beberapa premis sekitar Taman Tampoi Indah itu, seramai 24 warga asing dicekup berumur antara 20 hingga 45 tahun.
Mereka yang ditahan melibatkan warganegara Myanmar, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Vietnam.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)( c), Seksyen 15(1) (c ) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk tindakan lanjut.