GUA MUSANG, 25 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan melibatkan anak Menteri Besar Perlis dan empat lagi suspek yang ditahan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Setakat ini, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah berjaya mendapatkan tempoh reman baharu selama sehari hingga esok.
"Kes ini sudah pun diketahui umum dan beliau sudah ditangkap semalam serta sudah direman dua hari.
"SPRM sedang menjalankan siasatan dan saya dimaklumkan tadi oleh pihak penyiasat kes ini bahawa kemungkinan besar permohonan reman baharu akan dipohon kerana tempoh masa reman yang diberikan tidak mencukupi untuk kita melengkapkan siasatan awal kes ini.
"Saya jangka kita akan panggil beberapa pihak lain dan mungkin akan dijalankan tangkapan bagi kita membuktikan kesalahan yang berlaku," katanya selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang di sini, hari ini.
SPRM hari ini menyambung tempoh reman selama sehari lagi hingga esok terhadap lima suspek termasuk anak Menteri Besar Perlis untuk siasatan lanjut.
Sambungan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman semua suspek tamat hari ini.
Terdahulu, SPRM menahan reman enam individu selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membaik pulih, penyelenggaraan, perkhidmatan dan pembekalan melibatkan Pejabat Menteri Besar Perlis berjumlah RM600,000.
ARTIKEL BERKAITAN
Anak MB Perlis antara enam ditahan SPRM terbabit kes pemalsuan dokumen