KUANTAN, 2 Januari - Seorang tukang mozek kerugian hampir RM29,000 selepas terpedaya dengan seorang janda melalui satu sindiket jual beli barang dalam aplikasi yang dikenali sebagai Ubei (Engoogo.com).
Janda tersebut awalnya ingin berkenalan dengan mangsa untuk mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya.
Mangsa, Foong Mun Fei 42 tahun berkata dia mengenali janda tersebut pada 5 Disember lalu melalui satu aplikasi media sosial Facebook.
Dia kemudian melanjutkan perbualan mereka menerusi aplikasi Whatsapp.
Selepas seminggu berkenalan, wanita berkenaan memintanya untuk membeli barang seperti jam, barang kemas dan barangan lain.
"Saya kemudian memasukkan wang ke dalam akaun sebanyak RM1,000 dan berjaya memperoleh RM250. Kemudian saya memasukkan lagi wang ke dalam akaun yang berbeza sebanyak RM25,000 seterusnya sebanyak RM300 ke dalam akaun yang lain," kata Foong Mun Fei dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu di sini.
Namun, keuntungan tersebut tidak dapat dikeluarkan kerana telah dibekukan malah mangsa gagal mendapatkan kembali kesemua wang dilaburkan dan keuntungan yang dinyatakan.
Mangsa rasa tertipu lalu menghubungi wanita itu namun gagal dan kemudian membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan.
Dalam pada itu , ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis telah diadakan
bagi menangani masalah sindiket penipuan yang semakin berleluasa.
“Kita minta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan dalam masa sama menasihatkan mana-mana pemilik akaun agar tidak terpedaya dan tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain kerana bimbang akan disalahgunakan untuk aktiviti penipuan ini,” katanya.