fb fb fb fb fb

Tiga termasuk sepasang kekasih didakwa edar dadah bernilai RM1.445 juta

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 10 Oktober- Tiga individu termasuk pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas enam pertuduhan mengedar dadah berbahaya, pada 28 September lalu.

Tiada pengakuan dibuat tertuduh, Ong Li Ren 30 tahun, Lim Wen Foong 35 tahun dan Ng Hui Xin, 27 tahun di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin dan R.Salini.

Li Ren dan Hui Xin menghadapi dua pertuduhan iaitu mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA seberat 2.68 kilogram dan ketamin seberat 0.164 kilogram di Taman Seri Setanggi, Johor Bahru.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala Wen Foong berdepan tiga pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 4.258 kilogram, metamphetamine seberat 0.005 kilogram dan nimetazepam di Taman Gaya, Johor Bahru.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Li Ren berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah MDMA dengan anggaran berat kasar 292.30 gram di tempat letak kenderaan, Taman Sentosa, Johor Bahru, juga pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE