fb fb fb fb fb

Suspek bunuh peniaga COD sudah dikenal pasti

Lokasi penemuan seorang wanita yang ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam

KUANTAN, 14 Februari- Polis Pahang sudah mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kes seorang wanita peniaga makanan COD (cash on delivery) ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini sedang mengesan keberadaan suspek lelaki berusia 37 tahun yang menetap di sekitar daerah itu bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, berdasarkan rekod lampau suspek pernah terlibat dalam kes berkaitan jenayah namun, suspek tidak mempunyai hubungan dengan mangsa.

Sebelum ini, suspek didapati pernah membuat pesanan makanan dengan mangsa dan bertemu di lokasi kejadian.

Siasatan ke atas mangsa mendapati, barang kemas wanita itu hilang; selain terdapat kesan kecederaan di badan mangsa.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan.

Beliau dalam pada itu turut mengiringi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan bercemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE