KUANTAN, 5 Disember- Suami kepada bekas pelakon dan model, Zahnita Dorothy Hussein Wilson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.
Tertuduh, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, yang juga seorang ahli perniagaan, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.
Menurut keterangan kes, pada pukul 8.20 pagi, 7 Mei lalu, di sebuah rumah di Kuantan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, 39.
Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Devaagaran Naidu Baskaran, sementara tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Mokman.
Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan kes.
Dalam perkembangan lain, di mahkamah majistret berasingan, Abd Zackery menghadapi tuduhan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Raja Norshazianna Shakila Raja Mamat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari, manakala tertuduh diwakili oleh peguam sama.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,600 dan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes serta laporan patologi.
BERITA BERKAITAN