KUALA LUMPUR, 18 Oktober-Seramai 37 individu termasuk enam doktor ditahan menerusi Op Tunjang selepas dipercayai terlibat dalam sindiket tuntutan palsu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Mereka dijangka didakwa di mahkamah bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan telah dibuka susulan tangkapan tersebut.
“Kalau 37 (kertas siasatan), maknanya 37 lah. Saya tak semak, tapi minimum 37 lah, dan setiap kertas siasatan ada saksi tersendiri. Mungkin ada saksi yang sama, tapi saksi tersendiri itu sudah tentu.
“Untuk melengkapkan siasatan, prinsip kami ialah satu kertas siasatan diselia oleh satu pegawai penyiasat. Jadi, bayangkan usaha untuk melengkapkan siasatan dengan terperinci kerana standard Timbalan Pendakwa Raya mestilah melebihi 85 peratus elemen terbukti sebelum beliau bersetuju membawa kes ke mahkamah,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama SPRM di Menara PERKESO di sini.