fb fb fb fb fb

PTG Selangor rampas bahan batuan bernilai RM1 Juta

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor berjaya merampas bahan batuan bernilai sekitar RM1 juta / Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 13 September – Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor berjaya merampas bahan batuan bernilai sekitar RM1 juta.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor, Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata operasi yang dijalankan dari 11 hingga 13 September itu menyasarkan aktiviti perlombongan pasir tidak sah di kawasan-kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Katanya, kerjasama antara Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dan unit penguatkuasaan Pejabat Tanah Daerah (PTD) membuahkan hasil apabila lapan buah lori yang membawa bahan batuan tanpa dokumen sah berjaya ditahan.

"Bagi operasi ini, kita berjaya menahan lori bersama pemandu. Kami akan ambil keterangan pemandu dan simpan lori di stor rampasan untuk siasatan lanjut. Selepas itu, kita akan panggil syarikat dan pemiliknya untuk siasatan," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Yusri, PTG akan terus memantau dan membanteras kegiatan perlombongan pasir haram yang boleh merosakkan alam sekitar dan ekonomi negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN