fb fb fb fb fb

Produk suplemen kecantikan guna logo halal palsu dirampas

Foto RTM

POKOK SENA, 20 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas produk suplemen kecantikan bernilai RM1,336 juta kerana menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualan.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil maklumat awam, 14 anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar dan tiga orang pegawai Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah melakukan serbuan di premis berkenaan pada Rabu.

Hasil pemeriksaan mendapati, premis tersebut bukan pemegang sijil Halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis mendapati premis berkenaan telah menggunakan logo Halal pada setiap label pek bungkusan di pelbagai jenis produk keluaran syarikat tersebut," Katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat dibawah Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam
melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000.

Muhammad Nizam turut mengingatkan para peniaga agar tidak menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan diharap dapat menyalurkannya kepada Pejabat KPDN untuk tindakan lanjut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD