fb fb fb fb fb

Polis tahan dua lelaki, rampas dadah lebih RM190,000

Hasil ujian saringan awal polis ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

KOTA BHARU, 25 Disember- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menahan dua lelaki dan merampas 3,608 kilogram dadah jenis pil yaba bernilai lebih RM197,000 menerusi Operasi Tapis Bersepadu di dua lokasi berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, DCP Mohd Ali Tamby berkata suspek berusia 36 dan 29 tahun itu ditahan di Kampung Pendek Batu 5, Jalan Salor selepas polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi 2,000 biji pil yaba.

"Penahanan itu membawa kepada tahanan suspek kedua di sebuah rumah di Kampung Padang Embon Kubang Sepat, Pasir Mas di mana pemeriksaan di dalam bilik menemukan lima bungkusan kertas mengandungi 30,000 biji pil yaba.

"Turut dirampas, sebuah kereta dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM222,000. 

"Hasil ujian saringan awal polis ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

"Salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata 201 suspek berusia antara 18 hingga 68 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah menerusi operasi tapis bersepadu yang dilaksanakan dalam tempoh empat hari yang berakhir semalam.

Pelbagai  jenis dadah termasuk ganja, syabu, erimin 5 serta ketum yang dianggar bernilai RM1.5 juta turut dirampas dalam operasi berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM