SHAH ALAM, 15 Januari – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Selangor sedang menyiasat kes penipuan pakej umrah yang melibatkan syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd.
Menurutnya, laporan polis diterima di Sepang setelah seorang mangsa melaporkan kerugian sebanyak RM11,000 akibat gagal mengerjakan umrah pada 14 Januari 2025.
"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dengan tujuh laporan diterima setakat ini dan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM100,000," katanya dalam satu kenyataan.
Suspek didakwa menggunakan aplikasi TikTok untuk mempromosikan pakej umrah melalui iklan yang diuruskan oleh agen syarikat tersebut.
Pada kira-kira pukul 7 malam tadi, polis menahan pasangan suami isteri berusia 31 tahun yang merupakan pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd di Kuala Lumpur.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan termasuk komputer, pasport, dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.